Perutusan Pengerusi
Wabarakatuh Assalamualaikum Warahmatullahi.
Salam sejahtera dan salam koperasi.
Selamat bertemu dalam laman web rasmi Koperasi Guru-guru Malaysia Berhad (KGMB) yang terkini. Sebelum saya melanjutkan bicara, terlebih dahulu saya mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana kita diberi kesempatan untuk bertemu dengan bulan Ramadhan dan Syawal pada tahun ini. Insya-Allah.
Anggota koperasi sekalian, Laman web ini dibina sebagai media rasmi yang akan menghubungkan semua anggota KGMB dengan pihak pengurusan koperasi dan menjadi medan untuk anggota berinteraksi sesama sendiri. Mulai sekarang, segala maklumat mengenai KGMB boleh diperoleh dengan lengkap melalui laman web ini. Laman web KGMB ini dibina bagi menggantikan laman-laman web KGMB terdahulu. Laman ini juga akan menjadi asas kepada pembinaan sistem maklumat anggota yang berasaskan web. Adalah diharapkan agar laman web ini akan terus berkembang secara dinamik seterusnya menjadi media penyalur maklumat KGMB serta menjadi laman untuk ahli-ahli berkongsi maklumat setempat / kawasan KGMB.
Anggota KGMB yang dihormati sekalian,
Pada dasarnya laman web ini mengandungi pelbagai maklumat asas mengenai KGMB dan perkembangan KGMB dari semasa ke semasa. Selain itu, terdapat galeri yang memaparkan sejarah penubuhan KGMB dan gambar-gambar pelbagai peristiwa yang menjadi kenangan KGMB dalam laman web ini. Untuk makluman semua anggota, segala maklumat mengenai Tabung Kebajikan Anggota (TKA), pembiayaan yang ditawarkan serta borang-borang permohonan pembiayaan dan TKA boleh dilayari melalui laman web ini.
Laman web ini juga memaparkan segala maklumat tentang tawaran pembiayaan peribadi, pembiayaan untuk menunaikan umrah dan melancong. Anggota yang berminat boleh menyemak maklumat yang ditawarkan dan boleh berhubung terus dengan staf KGMB. Untuk makluman semua anggota, fokus utama KGMB masih lagi berasaskan pembiayaan atau kredit. Walau bagaimanapun, jumlah anggota yang membuat pinjaman masih lagi kurang memberangsangkan. Hal ini menyebabkan pendapatan koperasi berkurangan. Anggota Lembaga Koperasi (ALK) telah berusaha untuk mempelbagaikan kaedah untuk menambahkan pendapatan koperasi serta penyertaan ahli dalam aktiviti koperasi.
Pada tahun 2024 KGMB telah berjaya mendapat tempat ke-81 dalam kelompok 100 Koperasi Terbaik Malaysia. KGMB juga mendapat tempat ke-25 Koperasi Terbaik Wilayah Persekutuan. Tahniah diucapkan kepada semua anggota. Semoga kita dapat mencapai tempat yang lebih baik pada masa hadapan.
Mulai Januari 2025, KGMB telah membuat satu keputusan iaitu, pasangan suami isteri yang menjadi anggota KGMB layak untuk memohon dermasiswa atas pencapaian cemerlang anak-anak mereka. Sebelum ini, hanya suami atau isteri (kedua-dua anggota KGMB) yang boleh memohon dermasiswa tersebut atau menerima sumbangan lain daripada tabung kebajikan. Anggota hanya perlu memberikan nombor akaun bank anak atau akaun sendiri bagi membolehkan bayaran dibuat terus ke akaun yang diberikan. Berbanding sebelum ini, KGMB telah membuat bayaran melalui cek tetapi banyak cek yang tidak ditunaikan sehingga menyebabkan akaun KGMB tidak dapat ditutup dengan sempurna. Bayaran melalui akaun anggota ini akan membolehkan anggota mendapat bantuan kewangan dengan cepat.
Begitu juga dengan permohonan pembiayaan di bawah RM20,000, ianya akan dibayar terus ke akaun anggota setelah permohonan diluluskan. Bagi menghargai dan menggalakkan lagi anggota membuat pembiayaan kredit (pembiayaan sehingga 90 peratus dari yuran simpanan anggota sendiri), ALK telah bersetuju untuk mengurangkan yuran perkhidmatan daripada 6 peratus kepada 4 peratus sahaja mulai Januari 2025. Sila hubungi pejabat KGMB untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang perkara ini.
Pada tahun 2024, KGMB telah melancarkan pembiayaan tanpa yuran perkhidmatan bagi membiayai anggota menunaikan umrah dan mengadakan lawatan keagamaan. Pada penghujung Januari 2025 KGMB telah berjaya menganjurkan program ini buat pertama kali. Beberapa anggota KGMB yang menyertai program umrah tersebut telah selamat kembali ke tanah air pada 02/02/2025 lepas. Bagi anggota yang berminat untuk menunaikan umrah, mereka bolehlah melayari laman web KGMB untuk mendapatkan tarikh menunaikan umrah anjuran KGMB pada musim cuti sekolah akan datang. Bagi anggota yang berminat untuk melancong ke Turkey pula, mereka bolehlah memilih tarikh yang ditawarkan di laman ini.
Dalam usaha untuk mempelbagaikan pendapatan, KGMB sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak insuran yang menawarkan pembiayaan insuran kenderaan bermotor dan juga insuran am. KGMB akan menawarkan pembiayaan pembelian insuran kenderaan atau am tersebut kepada anggota bagi membolehkan anggota membayar balik pembiayaan tersebut dalam tempoh 3 hingga 6 bulan. Maklumat tentang perkara ini akan dimaklumkan melalui laman web ini.
Bagi anggota yang mempunyai perniagaan sampingan, pusat tuisyen dan sebagainya, anda dijemput untuk mengiklankan aktiviti perniagaan anda dalam laman web KGMB ini. Seterusnya iklan-iklan ini boleh menjadi sumber pendapatan KGMB. Di samping itu, laman web ini akan memaparkan pelbagai tawaran istimewa untuk anggota KGMB dari semasa ke semasa. Oleh itu, anggota disaran agar selalu melayari laman web KGMB.
Marilah kita bersama-sama sebagai anggota KGMB berusaha untuk memajukan KGMB seterusnya meningkatkan ekonomi kita. Akhir bicara, saya ucapkan selamat menjalani ibadah puasa dan selamat menyambut Hari Raya Aidil Fitri yang mulia kepada anggota beragama Islam. Semoga kita semua dapat meraikan aidil fitri dalam suasana harmoni, sejahtera seterusnya meningkatkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama. Sekian.
”Kemurnian Gandingan Matlamat Bersama”
Tuan Haji Haris bin Yahaya
Pengerusi
Koperasi Guru-Guru Malaysia Berhad
